Wednesday, March 23, 2011

Ganjaran Penuh

Berita HarianOleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim2011/03/23 Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: NajibPUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi."Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali."Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan

Tuesday, March 22, 2011

Pesara KWSP dapat perubatan percuma

PUTRAJAYA 22 Mac - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12, di sini, hari ini.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa,” katanya.

Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri, kata Najib. - Bernama

Gaji Kumpulan Sokongan IPTA Tidak Sesuai - CUEPACS

SHAH ALAM, 19 Mac (Bernama) -- Hampir 40 peratus daripada 55,000 kakitangan kumpulan sokongan di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara masih mendapat gaji asas yang tidak sesuai dengan kos sara hidup semasa, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.


Beliau berkata di bawah Skim Saraan Universiti (SSU), gaji permulaan kakitangan kumpulan sokongan I ialah RM850 sebulan dan RM647 sebulan bagi kumpulan sokongan II.

"Oleh itu Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (GAKUM) sedang menyiapkan memorandum untuk meminta satu gaji minimum baru ditetapkan untuk kumpulan sokongan ini.

"GAKUM akan mengadakan mesyuaratnya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 17 dan 18 April ini bagi menyiapkan memorandum berkenaan sebelum diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Omar berkata setakat ini 85 peratus daripada memorandum itu telah disiapkan semasa perjumpaan jawatankuasa khas membuat penambahbaikan SSU yang membabitkan semua wakil Gakum seluruh negara, di sini.

Beliau berkata GAKUM memohon sekurang-kurangnya gaji asas minimum kumpulan sokongan 1 dan 11 IPTA ialah pada paras RM1,100 sebulan.

-- BERNAMA

20.03.2011

CUEPACS Minta Kerajaan Selaras Gaji Dengan Kenaikan Harga Barang

18 Mac 2011

MELAKA, 15 Mac — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.

“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.

“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.

“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.

Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.

“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.

Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.

“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.

Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.

“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.

Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.

“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya.

- Bernama

15 Mac 2011