Monday, December 31, 2012

CUEPACS : 45,000 KAKITANGAN DISAMBUNG KONTRAK 6 BULAN

  

KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mengumumkan kontrak 45,000 kakitangan awam yang berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kontrak mereka akan diperbaharui mulai 1 Januari sehingga hujung bulan Jun nanti.


"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat penyambungan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kongres di sini hari ini.

Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu akan memberi harapan baru kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada hujung tahun ini.

Omar juga meminta jasa baik kerajaan untuk membenarkan kakitangan kerajaan yang mempunyai rekod baik mengambil cuti tanpa rekod selama 10 hari.

Katanya, selain itu cuti tanpa rekod juga perlu diberi kepada ibu-ibu yang terpaksa menjaga anak yang sakit.

"Setahun ada 25 hari, kalau anak kena kuarantin 10 hari, kaum ibu kena ambil cuti 10 hari dan tinggal 15 hari sahaja, kalau tidak cukup cuti, kena ambil cuti tanpa gaji," katanya.

Beliau juga meminta penjawat awam yang mahu menunaikan umrah dibenar mengeluarkan caruman daripada simpanan gratuiti perkhidmatan antara RM5,000 dan  RM10,000.

Wang tersebut boleh diganti semula selepas mereka bersara nanti menggunakan duit pencen mereka, katanya.

"Cara ini lebih sesuai kerana kakitangan kerajaan tidak mempunyai KWSP tetapi mempunyai simpanan gratuiti perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan orang ramai mengeluarkan wang daripada akaun kedua mereka untuk menunaikan umrah.

Cuepacs juga hari ini sebulat suara mengusulkan kepada kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Kajian terperinci perlu dibuat kerana ada kamera yang dipasang di kawasan yang tidak mempunyai data kemalangan, kawasan yang kerap kemalangan pula tidak dipasang," katanya.

Omar turut melahirkan rasa simpati terhadap pemandu jabatan kerajaan yang dipaksa membayar sendiri saman sedangkan mereka disaman kerana mematuhi arahan ketua yang menaiki kenderaan berkenaan.

Beliau memohon supaya saman had laju termasuk daripada AES dalam kes-kes seumpama itu dibayar oleh jabatan masing-masing.

"Mulai sekarang, biarlah yang membayar saman ini terdiri daripada pihak jabatan. Pemandu dengan upah RM800 ke RM1,500 sebulan, mana nak mampu bayar saman 2-3 kali sebulan sedangkan mereka dipaksa (memandu) laju kerana mengikut arahan," katanya. - Bernama


- Sinar Harian 27/12/2012